top of page

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

​

KELAHIRAN

Bermula dengan penubuhannya secara rasmi pada 24 November 1994, Universiti Malaysia Sabah merupakan universiti awam yang kesembilan dan salah sebuah universiti yang termuda di Malaysia.
Tiga buah sekolah akademik dan sebuah pusat telah ditubuhkan pada bulan Julai 1995 dan kini UMS berkembang maju dengan mempunyai sembilan buah sekolah, sebuah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, dan tiga buah pusat kecemerlangan penyelidikan iaitu Institut Penyelidikan Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Institut Penyelidikan Marin Borneo dan Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial.Bilangan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah telah meningkat dengan pesat dan jumlahnya kini melebihi 8,000 orang termasuk pelajar antarabangsa.

Pejabat Pengurusan Universiti pertama bermula di Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan September 1994 dan kemudian berpindah ke pejabat sementara dengan menyewa sebuah rumah daripada Universiti Malaya yang juga menjadi pejabat urusan UMS.

Pada bulan November 1994, sebuah pejabat pentadbiran sementara diadakan di bangunan Gaya Centre, di bandar Kota Kinabalu.

Pengajian akademik telah bermula di Kampus Sementara di Kolej Komuniti Yayasan Sabah di Likas pada tahun 1995 dan Kolej Latihan Telekom, Menggatal pada tahun 1996.
Pada waktu yang sama pembangunan fizikal kampus tetap terus berjalan dengan penyediaan konsep pelan kampus pada bulan Ogos 1995 dan kini kerja-kerja pembangunan infrastruktur dan bangunan berjalan lancar.Pengambilan pelajar printis seramai kira-kira 400 telah bermula pada bulan Jun 1999.UMS merasa bangga dengan pencapaiannya dalam usia yang begitu muda. Ia telah mencapai kemajuan akademik dan kesarjanaan yang memberangsangkan.

Dengan kedudukannya di Sabah, UMS mempunyai keistimewaan untuk membangunkan tradisi kecemerlangan pada alaf baru.Sebagai sebuah institusi ilmu, UMS mempunyai wawasan yang inovatif dan kini giat menjalin hubungan akademik antarabangsa. Kini UMS telah mula menarik minat para tenaga akademik, penyelidik, staf dan pelajar yang berkaliber.

UMS mempunyai iltizam untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan dan pelbagai aktiviti kesarjanaan disamping mengembangkan pengkayaan budaya dan wacana intelektual di kalangan masyarakat.
Fasa pertama perpindahan ke kampus tetap telah diadakan pada bulan Jun 1999 dan pada 19 Mei 2000 , UMS telah  beroperasi sepenuhnya di kampus tetap.Disamping itu, kerajaan telah meluluskan sebuah kampus cawangan UMS di Wilayah Persekutuan Labuan.

Meskipun UMS sebuah institusi yang kecil, namun ia merupakan organisasi yang amat tersusun, yang memiliki keyakinan diri yang mantap dan merupakan sebuah universiti yang mempunyai komitmen yang tinggi untuk mencapai piawaian antarabangsa.19 September 2000 merupakan detik paling bersejarah bagi UMS. YAB Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia mengisytiharkan perasmian kampus Universiti Malaysia Sabah. Janji yang dibuat pada 31 Januari 1994 telah ditunaikan dan pusat pencanai minda berdiri megah, sebagai manifestasi pencapaian aspirasi pemimpin dan rakyat.

 

bottom of page